Monday, 5 September 2011

NABI SAW MENJAMIN SYURGA

Sempena kedatangan Syawal 1432H ini, kepada para pembaca budiman, khususnya para pengikut setia Relung Cahaya yang tidak sepertinya ini, kami daripada Panel Penyelidik Yayasan Sofa mengucapkan Salam Eidul Fitri, Minal Aa`idin wal Faa’izin, Kullu `Aam wa Antum bi Khayr. Semoga datangnya Syawal setiap tahun mengembalikan kita kepada fitrah yang sejahtera dan menjadikan kita dari kalangan mereka yang berjaya di dunia dan di akhirat. Maaf di pohon jika sepanjang perkongsian pandangan di ruang ini ada silap dan salah di pihak kami.
Seperti yang dijanjikan dalam siri yang lepas, kita menyambung perbincangan kita tentang meluruskan fahaman terhadap keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Agar tidak timbul lagi gejala sesat-menyesatkan sesama Islam apabila sebahagian daripada umat beri`tiqad dengan keistimewaan Nabi SAW ini. Kita akan melihat bahawa dalam pelbagai situasi, Nabi SAW telah diberi wakil kuasa untuk menjanjikan syurga bagi pihak Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Abdullah ibn ‘Abbas RA berkata, sabda Rasulullah SAW: “Disediakan bagi para Nabi mimbar khusus daripada cahaya; mereka semua duduk di atasnya. Yang tinggal (kosong) cuma mimbarku; aku tidak duduk di atasnya, tetapi aku berdiri di hadapan Tuhanku dalam keadaan bimbang; jika aku diutuskan ke syurga, sedangkan umatku masih tercicir. Maka aku berkata, “Wahai Tuhanku! Umatku, umatku!” Allah SWT berfirman, “Wahai Muhammad! Apakah yang engkau ingin Aku lakukan terhadap umatmu?” Aku pun menjawab, “Wahai Tuhanku! Percepatkanlah hisab mereka.” Lalu mereka pun dipanggil, kemudian dihisab. Di antara mereka, ada yang masuk ke dalam syurga dengan rahmatNya dan ada yang masuk ke dalam syurga dengan berkat syafa’atku. Maka aku terus memberi syafa’at sehinggalah (Aku berikan tiket masuk ke syurga) untuk beberapa orang yang telah dihalau masuk ke dalam neraka. Sehingga Malik, malaikat penjaga neraka berkata, “Wahai Muhammad! Engkau tidak sekali-kali meninggalkan pada umatmu suatu bencana (azab) pun untuk kemurkaan Tuhanmu.” (Riwayat imam Tabrani dalam al-Kabir dan al-Awsat dan al-Baihaqi dalam al-Ba`th)
Disebut di dalam suatu riwayat daripada Jabir RA, bahawa beliau berkata: Kami berkata, “Untuk apakah kami membai’ahmu?” Rasulullah SAW bersabda, “(Kamu membai’ahku) untuk mendengar dan menta’ati kami; baik dalam keadaan rajin, mahupun dalam keadaan malas, mengeluarkan nafkah (sedekah) dalam keadaan susah dan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran dan (untuk kesemua itu) kamu berhak mendapat syurga.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: Imam Ahmad juga meriwayatkan hadith ini melalui jalur yang lain, daripada Jabir RA, beliau berkata: Al-‘Abbas RA pernah memegang tangan Rasulullah SAW. Setelah kami selesai, Rasulullah SAW bersabda, “Aku telah mengambil dan memberikan.” (Fath al-Bari dan Majma` al-ZAwaid. Iaitu, “Aku telah mengambil bai’ah dan memberikan syurga.”
 Ada riwayat lain yang lebih tegas daripada itu, Jabir RA berkata: Bahawa Nabi Muhammad S bersabda kepada mereka: “Berbai’ahlah kalian kepadaku untuk (mahu) mendengar dan taat (kepadaku) hingga sabda Baginda SAW, “Dan bagi kalian syurga.” Jabir seterusnya berkata, “Lalu mereka pun berkata, “Demi Allah! Kami tidak akan meninggalkan bai’ah ini untuk selama-lamanya dan kami juga tidak akan menariknya untuk selama-lamanya.” Maka kami pun membai’ah Baginda SAW. Lalu Baginda SAW mengambil janji daripada kami, menetapkan syarat, dan memberikan kami syurga atas (perlaksanaan) itu.” (Riwayat Imam Ahmad, Al-Bazzar dan sebahagiannya oleh Ashab Sunan)
Nabi SAW Menjual Syurga Dan Sayyidina Uthman RA Membelinya
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, berkata: Uthman RA membeli syurga daripada Nabi Muhammad SAW sebanyak dua kali dengan jual beli yang hak (benar); (pertama) setelah Uthman RA menggali perigi Rumah, dan (kedua) setelah menyiapkan bala tentera pada masa kesulitan. (Riwayat al-Hakim, al-Mustadrak)
Setiap orang yang berakal pasti mengetahui bahawa syurga itu hanya milik Allah SWT. Tidak seorang pun yang memilikinya dan tidak seorang pun yang dapat melakukan apa-apa di dalamnya walau setinggi mana pun martabat dan kedudukannya; sama ada malaikat, Nabi, mahu pun Rasul. Meskipun demikian, Allah SWT mengurniakan dan menganugerahkan pelbagai kurniaan kepada rasul-rasulNya yang membezakan mereka daripada manusia yang lain kerana kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisiNya. Oleh sebab itu, anugerah-anugerah tersebut dinisbahkan kepada mereka dan pengurusan-pengurusan tersebut disandarkan kepada mereka sebagai memuliakan, membesarkan, menghormati dan melebihkan mereka daripada manusia yang lain.
Berdasarkan logik inilah, beberapa istilah berkenaan keistimewaan-keistimewaan Nabi Muhammad SAW telah diberikan. Di antaranya, bahawa Baginda SAW menempah tanah syurga, menjamin masuk syurga, menggembirakan seseorang dengan syurga,  bahkan menjual syurga dan menggembirakan dengan syurga; sedangkan syurga itu hak mutlak Allah SWT. Perkara ini tentu sekali tidak meragukan kepada sesiapa pun kecuali orang yang jahil; yang tidak mengetahui serendah-serendah ilmu dalam permasalahan ilmu yang paling mudah.
Para pembaca yang budiman, Ramadhan 1432H baru semalam meninggalkan kita dengan kenangan suasana ibadah dan taqarrub yang masih hangat terasa. Dalam kita menyambut Eidul Fitri janganlah kita lupa bahawa setiap bulan, minggu dan hari, malah setiap saat dan detik bagi seorang mukmin sejati adalah untuk ibadah dan perjalanan mendekatkan diri kepada al-Khaliq SWT.
Maka suka juga kita mengingatkan bahawa menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap Nabi SAW adalah antara ibadah dan amal taqarrub yang paling utama. Nabi SAW telah menjadi pintu kepada segala kebaikan yang kita kecapi. Malangnya kita tetap mendapati adanya suara-suara sumbang yang sibuk menonjolkan aspek kelemahan yang mereka sangkakan ada pada Nabi SAW. Antara isu yang ditimbulkan oleh mereka ini seperti persoalan status agama bonda dan Ayahanda Nabi SAW. Akibat sikap tidak berhati-hati, para pendakwah yang dikenali ramai juga ada yang terjerumus dalam perbuatan mengatakan ibu dan ayah Nabi SAW mati dalam kekufuran. Suatu ungkapan yang jika benarpun tidak wajar disebut-sebut kerana tetap akan menyakiti Rasulullah SAW. Apatah lagi jika diingatkan bahawa terdapat pandangan yang kuat dikalangan para imam-imam yang menafikan dakwaan tersebut.
“Ya Rabbi! Sinarilah mata hati kami, bukakanlah pendengaran hati kami, perlihatkanlah kebenaran itu kepada kami sebagai suatu kebenaran, dan jadikanlah kami mampu mengikutnya. Serta tunjukkanlah kami kebatilan itu sejelas-jelasnya dan kurniakanlah kami kemampuan menjauhinya.”

Lokasi Madrasah

perjalanan dari arah bandar Kota Tinggi
Wakaf Tanah Untuk Madrasah
Penginapan Pelajar
Lawatan Ahli JawatanKuasa Madrasah

MADRASAH TAHFIZ AL JAUHAR KG LUKUT KOTA TINGGI

Pertubuhan Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, Johor.
Lot 1512, Kampung Lukut, 81900 Kota Tinggi, JOHOR.
Sijil Pendaftaran Pertubuhan 2790 – 11 - JHR
Tawaran pengajian Tahfiz Al Quran, A’lim dan Kemahiran Usahawan.

Objektif yang menjadi agenda utama penubuhan Madrasah Al Jauhar, Kota Tinggi, adalah untuk:-
- Melahirkan kalangan Profesional dan Usahawan Islam yang Hafaz dan berakhlak Al Quran. Melalui sukatan Pelajaran yang di rangkakan khusus untuk mencapai matlamat tersebut.

1 - Pengajian Hafaz Al Quran
2 - Program penghayatan Al Quran
3 - Program pendidikan Fardu Ain
4 - Program Pendidikan Kemahiran Usahawan.

Kelayakan masuk:-
  • Lepasan PMR dan SPM
  • Berminat mendalami bidang Agama Islam.
  • Boleh membaca dan menulis RUMI/JAWI

- Yuran masuk dan yuran bulanan RM300.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus sahaja) sebulan.
- Tempoh pengajian selama 3 tahun/hingga hafaz Quran (mana yang lebih dahulu).
- Kemudahan disediakan:-
1 - Asrama.
2 - Makanan/minuman.
3 - Kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran.

Maklumat lanjut, sila hubungi:-
- Ustaz Hj Muhamad Pairus b. Ali Akhbar - 019 7865390 (Mudir)
- En. Irwan b. Sualman - 014 3878658 (Pembantu Tadbir)

TEKNIK MENGHAFAZ AL QURAN

Sebelum menghafal
1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.
Teknik Menghafal
A. Teknik “Chunking”
1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Qur’an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.
B. Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.
C. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mati dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.
D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman
1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.
E. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.
F. Teknik Merakamkan Suara
1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.
G. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.
H. Teknik “Pointers” dan “Keyword”
1. Buat beberapa kotak.
2. Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi mukasurat tersebut.
4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.
I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.
J. Teknik “Mindmaping”
1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu’. Tulis ayat pertama rubu’ tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu’.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu’.
Mengekalkan Hafalan
1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.

Wednesday, 24 August 2011

PROGRAM RAHMAT RAMADHAN 2O11


ALHAMDULILLAH..dengan Rahmat dan KeizinanNya program Amal Ramadhan tahun ke 2 dapat dilaksanakan anjuran bersama Persatuan Silat Melayu Keris LOk 9 Johor, Kelab Pengamal Senaman Tua KOta Tinggi,JURUS kiswaH,dan Kelas Bimbingan Al-Quran Syatibiah.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan sifat kesukarelawanan atau volunteerism dikalangan ahli dalam akitiviti kemasyarakatan.Lokasi yang dipilih adalah sebuah perkampungan nelayan di Kampung Tanjung Buai,Kota Tinggi.

Antara pengisian program iaitu rewang @gotong royong penyediaan bubur lambuk,,agihan bantuan sumabangan kepada fakir miskin,anak yatim ,ibu tunggal, Majlis Khatam Al-Quran ,Persembahan Qasidah Burdah dan Iftar.

Semoga Program ini mendapat keberkahan dan mendidik jiwa-jiwa kami yang dahagakan bimbingan rohani di bulan yang penuh keberkahan dan keampunan ini. AMin amin

"AMALAN BERSEDEKAH, REZEKI BERKAH "

Tuesday, 23 August 2011

MAJLIS TADDARUS DAN KHATAM AL-QURAN

MAJLIS TADDARUS DAN KHATAM AL-QURAN PERINGKAT NEGERI JOHOR ANJURAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN NEGERI JOHOR 2011 BERSAMA PARA PELAJAR MADRASAH TAHFIZ AL QURAN AL AKBAR KOTA TINGGI